Related News
Category :

Sektor Perbankan Catat Pertumbuhan Pinjaman Lapan Peratus Tahun Depan, Kata MIDF Research [ 06-10-2009 ]
KUALA LUMPUR, 2 Okt (Bernama) -- Sektor perbankan berkemungkinan menyaksikan pertumbuhan pinjaman sebanyak lapan peratus tahun depam ekoran pemulihan ekonomi Malaysia dan negara-negara Asia, kata MIDF Research.

"Kami mengekalkan ramalan pertumbuhan pinjaman kami pada enam peratus tahun ini, katanya dalam satu nota penyelidikannya pada Jumaat.

Pertumbuhan pinjaman sektor setakat Julai tahun ke tahun susut kepada satu angka pada 8.4 peratus berbanding 12.8 peratus tahun ke tahun pada akhir tahun lepas.

Pertumbuhan pinjaman perniagaan merosot daripada 13.2 peratus tahun ke tahun setakat akhir tahun lepas kepada 3.2 peratus tahun ke tahun pada Julai 2009.

Pertumbuhan pinjaman bagi segmen pengguna lebih berdaya tahan pada sembilan peratus tahun ke tahun setakat Julai 2009 daripada 9.1 peratus tahun ke tahun pada 2008.

"Meskinpun skim jaminan kerajaan telah membantu meningkatkan pertumbuhan pinjaman kepada perusahaan kecil dan sederhana, namun pertumbuhan pinjaman keseluruhan kepada perniagaan tetap akan lebih rendah daripada tahun lepas.

"Pertumbuhan pinjaman bagi segmen pengguna dijangka lebih kukuh dalam suku keempat tahun ini, khususnya pinjaman bagi pembelian harta kediaman memandangkan kadar faedah yang rendah," kata MIDF.

Ia berkata tumpuan bank pada peringkat awal pemulihan ekonomi ialah terhadap pinjaman korporat yang besar, dengan penekanan kepada syarikat-syarikat berkaitan kerajaan dan syarikat yang telah memperoleh projek prasarana dengan sokongan kerajaan, dan pinjaman kepada segmen runcit.

Tentang pinjaman tidak berbayar (NPL), MIDF berkata ia tidak menjangka penurunan besar nisbah NPL kasar bagi suku keempat tahun ini. Katanya ramalan nisbah NPL kasar bagi tahun ini telah disemak menurun daripada tujuh peratus kepada lima peratus.

"Melangkah ke tahun 2010, kami menjangka NPL kasar bank-bank lebih rendah, dengan pengurangan peruntukan bagi kerugian pinjaman, sekali gus mendorong peningkatan pendapatan. Bank-bank berpotensi menyaksikan pengurusan modal yang lebih cergas dalam tahun berikutnya," kata MIDF.




You are visitor no:
6,802,247
to our website